fbpx

Ramadan ‘senjata rahsia’ Speedy Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMADAN (kanan) boleh menjadi senjata rahsia buat skuad hoki lelaki negara pada Sukan Asia Hangzhou 2023 di China.

PERUBAHAN posisi Muhamad Ramadan Rosli daripada pe­nyerang kepada pertahanan boleh dilihat sebagai ‘senjata rahsia’ buat skuad hoki lelaki negara pada Sukan Asia Hangzhou di China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

Ketua jurulatih Speedy Tigers, A. Arul Selvaraj mendedahkan, ini bukan kali pertama Ramadan, 32, ditugaskan di bahagian pertahanan selepas mencubanya dalam siri jelajah Korea Selatan di Incheon pada Jun lalu.

“Ramadan seorang penyerang, tetapi dia susah nak ‘cari makan’ di kelompok serangan.

“Saya perlukan tenaga, kekuatan dan kecergasan yang ada pada­nya.

“Saya cuba cari posisi yang sesuai dan akhirnya dapat (posisi pertahanan). Saya dah gunakan di Korea Selatan dan dia mengambil peluang itu sebaik­nya,” katanya.

Sejak Arul dilantik pada Ogos 2020, beliau telah mengubah banyak posisi pemain antaranya kapten, Muhammad Marhan Mohd. Jalil (tengah ke pertahanan) dan Faizal Saari (pe­nyerang ke ­tengah).

Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2022 itu turut mengubah posisi Muhajir Abdu Rauf ke bahagian pertahanan berbanding posisi sebenarnya di jentera serangan.

“Selepas tamat Piala Dunia (Januari lalu), saya membuat sedikit pertukaran kerana saya perlu menggunakan pendekatan berbeza. Saya perlukan pemain-pemain yang ada tenaga, kepantasan dan kekuatan.

“Saya tukar Muhajir dari penyerang ke pertahanan, dia lulus dengan cemerlang pada jelajah Korea Selatan dan ACT (Trofi Juara-Juara Asia). Malah, dua kali dia dapat anugerah Pemain Muda Terbaik semasa di ACT tempoh hari,” jelasnya.

Di Hangzhou nanti, skuad negara akan berdepan China, Indonesia, Korea Selatan, Oman dan Thailand dalam saingan Kumpulan A.

Speedy Tigers hanya me­nyasarkan pingat emas untuk meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun sejak edisi 2000 di Sydney, Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI