BENTONG – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mahu semua ahli parti menerima baik keputusan parti dalam pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang akan diumumkan malam ini.
Menurutnya, calon yang bakal dipilih itu adalah antara yang terbaik, dan sudah melalui saringan yang terakhir.
“Itulah pesan saya tadi, dan juga pesan Pengerusi BN Pahang. Sesiapa sahaja yang terpilih antara yang terbaik, ini dah merupakan saringan yang terakhir yang terbaik.
“Dan mereka telah pun berbuat baiah bahawa siapa sahaja di antara mereka yang akan diumumkan malam ini adalah yang bakal mewakili parti,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera BN PRK Pelangai di Simpang Pelangai di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, PRK DUN Pelangai boleh dianggap sebagai lokasi latihan supaya jentera parti sentiasa bergerak selepas menghadapi PRK DUN Pulai dan Parlimen Simpang Renggam, baru-baru ini.
“Pelangai ini merupakan kubu kuat kita. Sebelum ini, arwah Datuk Seri Johari Harun menang majoriti lebih 4,000. Jadi kita cuba kekalkan. Kalau tak dapat kekalkan pun kurang sedikit pun tak apa tetapi lebih baik kita hadiahkan dengan kemenangan majoriti dengan lebih baik,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE