fbpx

KPDNHEP pertingkat usaha bantu rakyat dan peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander Nanta Linggi.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited untuk memperkasakan operasi pemantauan dan penguatkuasaannya dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat dalam mengharungi situasi sukar ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat dua isu utama yang menimbulkan keresahan dalam pengguna di negara ini, masing-masing membabitkan faktor bekalan dan harga barangan keperluan di pasaran.

“Kita peka terhadap keluh-kesah rakyat, dengan kuasa berbelanja (kuasa beli) dalam kalangan pengguna turut terkesan sejak berlakunya penularan pandemik Covid-19, terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, pihak kementerian sudah melaksanakan pelan tindakan segera, khususnya membabitkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan bagi memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya dalam satu temubual khas di sebuah stesen televisyen malam tadi.

Mengulas lanjut Alexander berkata, tindakan itu bagi mengelak berlakunya pembelian panik kerana rakyat yakin bekalan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi di pasaran, selain boleh diperoleh pada harga berpatutan dan tidak membebankan.

“Ia juga bagi memastikan golongan peniaga sentiasa mematuhi peraturan dikuatkuasakan serta tidak mengambil kesempatan dalam keadaan sukar ketika ini sehingga boleh menjejaskan usaha kerajaan merekonstruktif ekonomi domestik negara,” ujarnya.

Menurutnya, sepanjang 18 Mac hingga 10 Nov 2020,sejumlah 476,912 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. Manakala sebanyak 4,684 kertas siasatan dibuka mengikut pelbagai akta di bawah KPDNHEP membabitkan nilai rampasan lebih RM60 juta.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP sentiasa berusaha memastikan program penyeragaman harga barang di Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan berkesan, terutama selepas diberi peruntukan RM40 juta dalam Belanjawan 2021 berbanding RM20 juta tahun sebelumnya.

“KPDNHEP kini dalam proses menyediakan satu nota makluman kepada Jemaah Menteri mengenai isu ketidakseragaman harga barang di Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung bagi membantu merangka mekanisme penyelesaian yang perlu.

“Ini termasuk memperkasakan Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (Port to Port) serta Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming dengan memanfaatkan peruntukan di bawah Belanjawan 2021,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI