BANGKOK – Presiden Persatuan Pakar Perubatan Forensik Thailand memberi amaran mengenai prosedur pembesaran payudara secara haram selepas seorang lagi wanita dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini akibat menjalani pembedahan itu.
Laman berita Thaiger melaporkan, kejadian itu dikongsikan oleh Doktor Smith Fa Srisont dalam akaun Facebooknya kelmarin.
Smith yakin pembedahan itu dilakukan secara haram kerana nama doktor yang melakukan prosedur tersebut tiada dalam sistem Majlis Perubatan Thailand.
Doktor itu memberitahu mangsa bahawa dia boleh menyuntik kolagen untuk membesarkan saiz payudaranya, namun mangsa sebenarnya menerima suntikan silikon.
Selepas menerima suntikan, mangsa mengalami keletihan dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Kesihatan wanita itu semakin merosot dan dia akhirnya meninggal dunia.
Laporan bedah siasat mendapati bahawa wanita itu meninggal dunia kerana silikon telah memasuki saluran darahnya yang menyebabkan saluran jantung dan otaknya tersumbat.
Menurut Smith, tindakan menyuntik silikon terus ke dalam payudara wanita adalah salah kerana doktor sepatutnya memasukkan beg silikon ke dalam payudara.
Kisah itu mendapat perhatian orang ramai dengan sebilangan pengguna mendedahkan bahawa ramai lagi wanita yang menjadi mangsa doktor tersebut. – Agensi