ALOR SETAR – Rakyat tidak seharusnya dipersalahkan berhubung isu ‘kehilangan’ beras tempatan ketika ini dengan dakwaan kononnya melakukan pembelian panik sehingga menyebabkan bekalan barangan tersebut kurang di pasaran.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, dakwaan sedemikian tidak seharusnya dibuat oleh mana-mana pihak ketika rakyat berdepan kepayahan untuk mencari makanan ruji pada harga berpatutan.
“Kami menyangkal dakwaan itu kerana sebelum ini bekalan beras tempatan dalam keadaan baik, tetapi apabila beras import diumumkan naik harga pada 1 September, bekalan beras tempatan tiba-tiba hilang daripada pasaran.
“Sebelum salahkan pengguna kononnya buat pembelian panik, semak dulu kadar bekalan diterima peruncit terutama pasar raya besar. Adakah mereka menerima jumlah bekalan yang sama seperti sebelum ini?” soalnya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.
Katanya, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin sebelum ini pernah memaklumkan pasar raya tersebut menerima bekalan beras pada kadar sangat rendah berbanding sebelum ini.
“Jadi bagaimana pula mahu salahkan pengguna kononnya membuat pembelian panik sedangkan peruncit pun terima bekalan yang sedikit?
“Jadi kami mahu terus persoalkan, ke mana sebenarnya beras tempatan itu pergi? Mengapa pula beras import boleh diperoleh di mana-mana dan beras tempatan pula hilang sedangkan dasar pengeluaran beras negara adalah 30 peratus beras import dan 70 peratus beras tempatan?” ujarnya. – KOSMO! ONLINE