APAKAH hukum isteri meminta cerai daripada suami walaupun si suami telah insaf di atas kesalahan masa lalu?
JAWAPAN: Pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab Syar’ie. Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan, maka haram baginya bau syurga.” Riwayat al-Tirmidzi (1187)
Hadis di atas menjadi dalil bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai kecuali jika ada alasan dibenarkan.
Al-Hafiz Al-Mubarakfuri berkata bahawa kenikmatan yang pertama kali dirasakan oleh penduduk syurga ialah mendapatkan bau harumannya.
Keadaan ini akan diperoleh oleh orang-orang yang berbuat baik sewaktu di dunia. Sedangkan yang disebutkan dalam hadis adalah wanita tersebut tidak mendapatkan bauan syurga itu.
Kenyataan tersebut menunjukkan ancaman terhadap isteri yang memaksa minta diceraikan tanpa alasan. [Lihat: Tuhfatul Ahwadzi, jld.4, hlm. 381]
Al-’Azhim Abadi juga menyebutkan hal yang sama dalam kitab ‘Aunul Ma’bud’, jilid 6, halaman 201.
Perlu diketahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talak) adalah halal dalam Islam, tetapi makruh (yakni dibenci syarak). Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah
SAW bersabda: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talak.” Riwayat Abu Daud (2178)
Namun begitu syarak mengharuskan bagi isteri meminta cerai apabila berlaku sesuatu keadaan yang tidak dapat dielak yang boleh menyebabkan berlakunya mudarat kepada isteri seperti:
– Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. [Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah, jld.8, hlm.204].
– Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya dan memaki seperti mengatakan, ‘engkau anak anjing’, ‘engkau anak laknat’, ‘engkau anak kafir’ dan sebagainya. [Rujuk; Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, jld.2, hlm. 345]
– Suami suka bermusafir lama seperti enam bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: enam bulan. [Rujuk; al-Mughni oleh Ibn Qudamah, jld.7, hlm. 305]
– Suami dipenjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. [Rujuk; Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, jld. 29, hlm. 67].
– Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
– Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Sheikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai daripada suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Sheikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
– Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkata Sheikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan kegagalan si isteri itu menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
– Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya sendiri.
Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah.
Namun, hendaklah diingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi awal.
Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran.
Apa membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain adalah usaha setiap pasangan memperbaiki hubungan mereka.