fbpx

Apih Kulim maut kena tujuh das tembakan di kepala, dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik menjalankan siasatan terhadap trak pikap mangsa di Jalan Hutan Kuin, Machang, Ahad lalu.

KOTA BHARU – Seorang pemilik bengkel dikenali sebagai Apih Kulim disahkan maut akibat terkena tujuh das tembakan pada kepala dan dadanya dalam kejadian di Kampung Hutan Kuin, Machang pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tembakan pada kedua-dua anggota badan mangsa itu dikenal pasti semasa proses post mortem dijalankan di Hospital Machang dekat sini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut dijalankan, dua pucuk pistol milik mangsa yang dipercayai digunakan untuk pelbagai aktiviti haram turut ditemui di kawasan lain.

“Siasatan mendapati, kejadian tersebut tercetus selepas berlaku pergaduhan di dalam kumpulan yang dipercayai diketuai oleh mangsa sendiri.

“Sehubungan itu, polis menahan empat suspek berusia 25 hingga 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu. Penahanan keempat-empat suspek juga dapat merungkai beberapa kumpulan lain yang aktif menjalankan kegiatan haram terutamanya pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, empat suspek yang ditahan itu mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, bergaduh, ugut dan menyebabkan kecederaan parah.

Menurutnya, polis sudah memanggil seramai 25 saksi termasuk rakan mangsa, keluarga dan individu yang berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu. Selain itu, polis juga sedang memburu individu yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang termasuk pengedaran dadah bersama mangsa,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI