JOHOR BAHRU – Pembelian panik dalam kalangan masyarakat dipercayai merupakan antara faktor utama berlakunya masalah kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, masalah kekurangan beras tidak sepatutnya berlaku di negeri ini ekoran bekalan sedia ada melebihi penggunaan.
Menurut beliau, penggunaan beras tempatan di negeri ini adalah sebanyak 21,000 metrik tan sebulan, manakala stok bekalan disediakan adalah sebanyak 23,000 metrik tan.
“Saya mahu perbetulkan persepsi rakyat Johor, untuk makluman tidak berlaku kekurangan kritikal bekalan beras di negeri ini kerana stok bekalan melebihi penggunaan rakyat.
“Tetapi apa yang berlaku adalah pembelian panik apabila keluarga yang biasa beli sekampit beras sebulan, tiba-tiba membeli dua atau tiga kampit sekali gus. Ini termasuklah pengusaha makanan, peniaga kantin dan pengusaha katering, kerana risau tiada bekalan jadi mereka terus beli dalam kuantiti besar.
“Itu secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan beras tempatan di negeri ini, disebabkan berlakunya pembelian panik dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE