fbpx

Isu Palestin, Myanmar dijangka jadi tumpuan Anwar di UNGA78

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan – Foto AFP

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengetengahkan pendirian Malaysia terhadap cabaran dan konflik global seperti situasi di Palestin dan Myanmar dalam Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 78) di New York, Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Anwar juga dijadualkan menyampaikan kenyataan negara pada Jumaat semasa sesi Debat Umum.

“Tema bagi sesi Debat Umum tahun ini ialah ‘Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all’.

“Tema itu memberi tumpuan dalam meningkatkan semula momentum dan mempercepatkan tindakan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.

“Selari dengan tema UNGA 78, Perdana Menteri juga bakal mengetengahkan isu- isu berkaitan perubahan iklim dan usaha-usaha bagi mencapai Agenda 2030 dalam Kenyataan Malaysia,” katanya di sini tadi.

Pada masa sama, katanya, Anwar juga akan mengadakan satu mesyuarat meja bulat dengan syarikat-syarikat Fortune 500 selain sesi bersama Invest Malaysia New York dan forum bersama ahli-ahli Council on Foreign Relations (CFR).

Jelasnya, Perdana Menteri juga akan ditemu bual dengan media antarabangsa seperti Bloomberg dan CNN.

“Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan- rakan sejawat di UNGA 78 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama.

“Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa,” jelasnya.

Katanya, Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York.

“Selain itu, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula dijangka menghadiri beberapa mesyuarat dan acara melibatkan pelbagai kumpulan antarabangsa dan serantau berkenaan isu-isu berkaitan di UNGA 78.

“Menteri Kabinet yang lain juga dijadual terlibat dalam pelbagai program berasingan sepanjang UNGA 78,” jelasnya.

Penglibatan aktif Malaysia sewaktu sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu menggariskan komitmen negara dalam mengetengahkan isu-isu penting di platform pelbagai hala (multilateral) terutamanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Untuk rekod, ini merupakan penglibatan pertama Anwar ke Perhimpunan Agung PBB setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI