SHAH ALAM – Sogokan sehingga RM100,000 antara tindakan cuba dilakukan kumpulan sindiket dadah dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Dalam serbuan bermula 8 September hingga kelmarin berjaya merampas dadah bernilai RM12.8juta selain menahan 14 suspek termasuk tiga warga asing iaitu Sri Lanka dan Thailand yang berusia 21 hingga 42 tahun.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, serbuan itu meliputi dua makmal dadah di Setia Alam dan Puchong dengan bahan yang dirampas termasuk dari jenis kokain, ketamin, methamphetamine, heroin dan ganja.
Katanya, salah seorang suspek berusia 22 tahun juga bertindak cuba menyogok RM100,000 bagi mengelakkannya ditahan polis pada pukul 7.50 petang, 13 September lalu.
“Penahanan suspek dilakukan ketika berjalan menuju keretanya di Bukit Puchong dengan hasil pemeriksaan lanjut menemui sembilan bungkusan dadah seberat 45.4 kilogram (kg) ketamin di ruangan khas but kenderaan tersebut.
“Nilai dadah tersebut dianggarkan bernilai RM2.7 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.
Jelas beliau, kes terbaharu pula melibatkan wanita Thailand yang direkrut sebagai keldai dadah dengan menyeludup dadah jenis kokain menerusi bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 5.50 petang kelmarin.
“Pekerja spa berusia 26 tahun itu ditahan di balai ketibaan ketika pemeriksaan rambang polis dan menjumpai empat bungkusan kokain seberat 4.27 kg bernilai RM854,000.,” ujarnya.-KOSMO!ONLINE