KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diganggu Ahli Parlimen pembangkang semasa menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Keadaan itu menimbulkan kekecohan dalam Dewan Rakyat sehingga memaksa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menegur Ahli Parlimen supaya memberi ruang kepada Anwar untuk membuat penggulungan.
Kekecohan bermula apabila Anwar menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa perkembangan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 sebanyak 8.7 peratus yang disifatkan terbaik di rantau ini adalah tidak benar.
Ahli Parlimen pembangkang terus bertindak menganggu penggulungan Perdana Menteri apabila Anwar menjelaskan mengenai isu harga dan kekurangan beras, serta penurunan harga petrol yang pernah beliau janjikan.
Suasana dalam Dewan Rakyat seterusnya bertambah tegang sebelum Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar meninggalkan Dewan Rakyat. – KOSMO! ONLINE