VIENNA, AUSTRIA – Seorang pendaki Britain terbunuh selepas jatuh dari ketinggian 91 meter ketika memanjat tangga di antara dua tebing di sebuah kawasan pergunungan popular di Austria, lapor akhbar The Sun semalam.
Mangsa berusia 42 tahun dan identitinya tidak didedahkan. Dia terjatuh dari hujung tangga di Pergunungan Dachstein iaitu kawasan pendakian popular dalam kalangan pelancong yang kerap memuat naik gambarnya di laman Instagram.
Tangga tersebut dikendalikan oleh firma Inter-sport, dan digelar Via-Ferrata. Ia merupakan perkataan dalam bahasa Itali bermaksud ‘jalan besi’.
Mangsa dikatakan memanjat tangga itu bersendirian, justeru, pihak berkuasa menolak kecuaian pihak ketiga sebagai faktor insiden tersebut berlaku. – AGENSI