PENYANYI daripada kumpulan BTOB, Eunkwang dilantik menjadi duta untuk kampung halamannya, Yongin di wilayah Gyeonggi.
Dia menerima watikah pelantikan tersebut di pejabat Datuk Bandar Yongin baru-baru ini.
“Ini adalah satu pengiktirafan terbesar dan saya berbangga kerana dilantik menjadi duta kampung halaman sendiri, Yongin. Saya akan berusaha keras agar Yongin dikenali,” kata Eunkwang.
Datuk Bandar Yongin, Baek Goon-ki berkata Eunkwang telah menginspirasikan anak muda di Yongin untuk mengejar impian.
“Dia membesar di Yongin dan banyak menyertai pertandingan nyanyian ketika di sekolah. Sekarang dia sudah berjaya dan kejayaannya mewakili Yongin.
“Eunkwang dilantik duta bandar Yongin atas usaha kerasnya memburu karier impian selain bergelar ketua kepada sebuah kumpulan yang sangat popular, seiring dengan misi bandar ini yang mahukan perubahan imej dan pembangunan,” katanya seperti memetik laporan Naver.
Pelantikan tersebut sekali gus memenuhkan jadual Eunkwang dengan aktiviti promosi Yongin termasuklah daripada aspek kebudayaan, festival ekonomi setempat dan lokasi pelancongan menarik selama dua tahun.