SEOUL, Korea Selatan – Wakil-wakil rakyat Korea Selatan merancang memperkenalkan akta melarang penjualan dan pengambilan daging anjing, lapor laman berita RT.
Akta itu dicadang oleh pembangkang utama, Parti Demokrat pada Khamis lalu dan mendapat sokongan pemerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP).
“Kira-kira 10 juta isi rumah Korea Selatan mempunyai haiwan peliharaan. Sekarang adalah masa untuk menghentikan amalan memakan daging anjing,” kata ketua jawatankuasa PPP, Park Dae-chul seperti dipetik agensi berita Bloomberg.
Dae-chul yang juga ketua penggubal dasar PPP, merujuk akta itu dengan istilah ‘rang undang-undang Kim Keon-hee’. Keon-hee ialah Wanita Pertama Korea Selatan yang berkempen menamatkan amalan memakan daging anjing.
Keon-hee menyokong larangan terhadap semua jenis perdagangan dan penggunaan daging anjing.
Pada bulan lalu, beliau menggesa Perhimpunan Kebangsaan meluluskan undang-udang bagi menamatkan amalan itu selain berjanji untuk berkempen dan berusaha menamatkan penggunaan daging anjing.
“Manusia dan haiwan harus hidup bersama. Aktiviti haram melibatkan daging anjing perlu dihentikan,” katanya semasa sidang akhbar pada akhir Ogos lalu.
Penggunaan daging anjing merupakan amalan yang diteruskan selama berabad-abad lamanya di Semenanjung Korea, tetapi semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu. – Agensi