MELAKA – Seorang pengawal keselamatan di Kompleks Mahkamah Melaka dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah memecah masuk bangunan serta mencuri wang tunai, awal bulan ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, P. Paul Agilan, 25, yang membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecah masuk kafe di bawah kendalian Nur Khairunnadia Mushafa, 28, dan mencuri RM150 di kaunter pembayaran.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.01 tengah malam di kafe Komples Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, dekat sini pada 2 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memecah masuk Pejabat Tanggungjawab (PTJ) Kompleks Mahkamah Melaka di bawah kendalian Nur Affazan Khairoun Anuar, 33, dan mencuri wang RM800 dari peti besi di dalam laci kaunter pembayaran antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada hari sama.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda dan mana-mana kesalahan itu jika dilakukan kali kedua atau yang kemudiannya boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Omar Zulkarnain merayu agar hukuman anak guamnya diringankan dan memohon supaya tempoh hukuman berjalan secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhan hukuman penjara enam bulan dan denda RM1, 500 bagi pertuduhan pertama serta penjara enam bulan dan denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua.
Beliau menetapkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 September lalu dan jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan.- KOSMO! ONLINE