KUANTAN – Sebanyak tujuh borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah dijual oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini.
Pengarah SPR, Datuk Zamree Hamli berkata, borang pencalonan itu dibeli oleh tiga pihak iaitu UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
“Pertubuhan Suara Anak Pahang telah memberi satu borang pencalonan pada 29 Ogos lalu diikuti PN dan UMNO yang masing-masing membeli sebanyak tiga borang pencalonan pada 15 September dan 18 September lalu,”katanya di sini hari ini.
Kerusi N36 DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober depan hari pengundian untuk DUN Pelangai.
Johari yang merupakan tokoh korporat berjaya dan kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menang di kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) 2,031 undi dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang yang memperoleh 65 undi.- KOSMO! ONLINE