TANJUNG MALIM – Polis mengesahkan video tular memaparkan kemalangan kecil membabitkan sebuah motosikal melanggar sebuah Unit Rondaan Bermotosikal (URB), sebagai video lama.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, penularan video berdurasi 16 saat dengan kenyataan ‘disaat rakyat dianiaya oleh pemimpin negara’ dan ‘izinkan kami langgar apa yang ada di depan mata’ itu telah mendapat pelbagai komen negatif warga maya.
Katanya, semakan mendapati, kejadian itu berlaku pada 26 April lalu ketika anggota URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dalam perjalanan ke kawasan perkampung Orang Asli Pos Bersih, Slim Village.
“Anggota URB ke lokasi kejadian kerana menerima maklumat berkaitan satu kemalangan jalan raya. Semasa dalam perjalanan, anggota URB telah bertanyakan lokasi sebenar nahas tersebut kepada penduduk tempatan.
“Ketika menghala ke lokasi, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki mengekori rapat dan dengan tidak sengaja telah melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang anggota URB,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pelanggaran itu tidak menyebabkan apa-apa kerosakan dan telah pun diselesaikan secara baik.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan persepsi negatif terhadap polis sehingga menjejaskan imej pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE