JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pelukis pelan membawa anak sulungnya berjumpa bapa buat pertama kali tercapai selepas mereka dibenarkan memasuki Singapura menerusi MyTravelPass pada Sabtu lalu.
Nurul Huda Jaafar, 37, bersama anaknya, Mohammad Hamzah Mohamed Sarbini, 5 bulan, kini menjalani kuarantin selama tujuh hari sehingga Jumaat ini.
“Alhamdulliah syukur segala urusan saya dipermudahkan untuk bertemu suami saya, Mohamed Sarbini Mohamed Salleh, 42, selepas hampir lapan bulan terpisah sejak wabak Covid-19 melanda.
“Anak saya dilahirkan pada 4 Jun lalu dan kini sudah berusia lima bulan. Dia tidak pernah jumpa ayahnya secara fizikal, ini kali pertama dan perasaan rindu kami Allah sahaja yang tahu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohamed Sarbini merupakan warganegara Singapura dan terpisah dengan isterinya yang menetap di Skudai di sini sejak 17 Mac lalu selepas pintu sempadan kedua-dua negara ditutup bagi mengekang penularan Covid-19.
Nurul Huda berkata, semasa terpisah ketika itu dia sudah mengandungkan Mohammad Hamzah tujuh bulan yang menjadi anak pertama pasangan itu selepas mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu.
“Ini anak pertama kami selepas melayari bahtera rumah tangga sejak sembilan tahun lalu. Saat gembira menimang cahaya mata inilah memberi kekuatan kepada saya untuk bawa anak bertemu ayahnya,” katanya.
Kisah perjalanan Nurul Huda membawa Mohammad Hamzah bertemu bapanya tular di media sosial facebook sejak kelmarin.