MELAKA – Kerajaan negeri menafikan dakwaan lepas tangan terhadap isu Madrasah Ar-Rabbaniyah, Merlimau dekat sini, sebaliknya bersedia membantu pihak terlibat untuk menyelesaikan isu tuntutan madrasah tersebut yang telah tertangguh selama empat tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.
Jelas beliau, masalah sebenar berpunca daripada isu dalaman kerana wujud dua kumpulan yang tidak mencapai kata sepakat mengenai proses tuntutan harta yang dianggarkan antara RM5 juta hingga RM8 juta.
“Masalah timbul selepas pengasas madrasah meninggal dunia pada 2018 yang mana segala aset termasuk tanah diserahkan kepada sebuah pertubuhan.
“Perjalanan madrasah juga tidak mengikut peraturan antaranya tidak mengadakan mesyuarat agung dan tidak mengisyhtiharkan sumber dana yang diperolehi.
“Disebabkan itu segala harta diserahkan kepada Pendaftar Syarikat (ROC) dan kemudiannya ROC serah kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sebagai caretaker (penjaga sementara),”katanya kepada pemberita.
Tambahnya, syarat untuk mendapatkan semula aset adalah tiga per empat ahli pertubuhan tersebut perlu membuat tuntutan kepada jabatan berkenaan, namun telah wujud beberapa kumpulan yang tidak mencapai kesepakatan.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, satu pasukan khas akan ditubuhkan diperingkat JAIM dan MAIM untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.- KOSMO! ONLINE