PUTRAJAYA – Para peminat sains angkasa tempatan berpeluang menyaksikan peristiwa oposisi Neptun yang dijangka dapat disaksikan di Malaysia pada pukul 8.39 malam ini.
Pakar falak, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin berkata, peristiwa ini tidak boleh dilihat terus dengan mata kasar namun ia memerlukan bantuan peralatan teleskop.
Katanya, disebabkan kedudukan jarak yang jauh daripada bumi, ia hanya akan kelihatan seperti bintik berwarna biru terang menghiasi panorama langit malam.
“Fenomena planet kelapan dari matahari ini kelazimannya berlaku hanya setahun sekali dan agak unik kerana orbit Neptun adalah paling jauh dalam sistem Suria,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantarannya pada awal bulan ini mendedahkan mengenai kejadian alamiah itu yang turut dirujuk saintis Islam sebagai Istiqbal Neptun.
Ketika oposisi berlaku, ia akan berada setentang atau sebaris dengan matahari dan bumi manakala keadaan keseluruhan permukaan bakal disinari sepenuhnya oleh matahari.
Bahkan agensi itu menambah, semasa fenomena tahunan tersebut berlangsung, Neptun boleh dilihat dari bumi dengan lebih terang berbanding pada kedudukan orbit yang lain.
Mysa menerangkan situasi ini disebabkan kedudukan planet itu paling hampir dengan bumi iaitu perigree dengan jaraknya 28.9 unit astronomi atau 4,323,400,000 kilometer. – KOSMO! ONLINE