KUALA LUMPUR – Pelakon Sharifah Amani tidak melihat pembabitan golongan pempengaruh media sosial dalam dunia hiburan sebagai satu bentuk ancaman kepada selebriti atau pengkarya seni sedia ada.
Pelakon yang mesra disapa Nani sebaliknya menyiftakan kehadiran kelompok pempengaruh atau juga dikenali sebagai selebriti media sosial akan memberikan lebih warna buat persada seni hiburan tanah air.
Dia juga percaya rezeki setiap anak seni telah diatur oleh Allah SWT.
“Saya okey sahaja sebab rezeki masing-masing. Setiap zaman ada ‘celebrity culture’ mereka. Namun bagi saya, untuk terus kekal berada dalam industri perlu diterapkan bersama adalah kesungguhan dan disiplin yang tinggi.
“Bagi saya kalau hendak berada lama dalam industri, kita kena serius dan belajar. Kita perlu tahu apa kesusahan yang kita lalui,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Ujar pelakon berusia 37 tahun itu lagi, sepanjang pembabitannya dalam industri selama lebih daripada 20 tahun, dia melihat selebriti yang bekerja keras dan berbakat akan bertahan lebih lama.
“Saya sudah berada dalam industri lebih daripada 20 tahun. Dari dulu saya lihat, mereka yang serius dalam bekerja akan bertahan lebih lama.
“Mereka yang tidak bersungguh atau tidak bagus, akan hilang. Dari dulu sampai sekarang trend akan jadi begitu,” jelasnya.
Pada masa sama, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Gubra itu berharap agar penggiat seni tidak melupakan bakat-bakat baharu daripada lepasan jurusan seni yang memiliki ilmu.
Sebagai contoh, pelajar lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) misalnya mempunyai banyak bakat yang patut diketengahkan oleh pihak stesen televisyen dan wajar diberi perhatian.
Bagaimanapun, golongan tersebut sukar untuk mendapat peluang pekerjaan dalam industri seni kerana tidak diberi peluang atau dipandang.
“Industri seni kita banyak bakat-bakat yang amat berpotensi. Satu contoh dapat dilihat ialah semasa saya dipanggil untuk menjadi juri di sebuah pertandingan teater pendek di Aswara baru-baru ini.
“Saya seronok tengok ramai bakat yang hebat dan ada potensi. Tetapi, selepas itu, apa? Ke mana mereka? Ada ramai yang mengadu pada saya mereka susah nak dapat pekerjaan terutama ketika Covid-19.
“Saya benar-benar berharap, agar lebih banyak penerbit, produksi dan stesen telebisyen beri keutamaan kepada graduan-graduan ini untuk berkerja mengikut cabang seni yang dipelajari,” katanya.
Dalam pada itu, Nani yang ditemui ketika sidang media filem La Luna di Dadi Cinema di sini, semalam turut berpendapat, graduan yang mempunyai kelulusan dalam bidang seni ini akan memudahkan kerja semua pihak, kerana pengalaman dan ilmu yang mereka miliki.
“Selain bakat, mereka juga mempunyai ilmu dan pengalaman. Jadi kerja akan menjadi lebih mudah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE