fbpx

PRK Jepak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asfia (kiri) bercakap pada sidang media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, susulan kematian penyandang Datuk Talib Zulpilip.

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, beliau telah mengemukakan satu surat bertarikh 19 September 2023 kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh pagi tadi untuk memaklumkan terdapat satu kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak.

“Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, SPR Malaysia hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak dalam tempoh 60 hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR Malaysia bahawa ada kekosongan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, Asfia berkata tempoh DUN Sarawak yang ke-19 akan tamat pada 14 Februari 2027 dan seterusnya Dewan akan terbubar secara automatik pada tarikh yang sama.

Sehubungan itu, katanya memandangkan kekosongan luar jangka itu berlaku melebihi tempoh dua tahun sebelum pembubaran Dewan secara automatik, maka PRK perlu diadakan berdasarkan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Sementara itu, Asfia berkata beliau sedikit lewat memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak atas dasar hormat ke atas Allahyarham Talib.

Talib yang menyandang kerusi DUN Jepak selama enam penggal sejak memenangi kerusi itu pada 1996 meninggal dunia pada 15 September lalu.

Justeru, Asfia berkata bagi pihak (DUN) Sarawak, beliau dengan rasa sedih dan dukacita merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang orang yang beriman serta beramal soleh di sisi Allah SWT,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI