KOTA KINABALU – Seorang penghantar makanan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan UMS berhampiran pusat beli-belah 1Borneo kelmarin maut selepas bertarung nyawa kira-kira 20 jam.
Mangsa dikenali sebagai Lawrence Medi, 43, disahkan meninggal dunia di Hospital Likas pada pukul 12.45 tengah hari akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kemalangan berlaku pada pukul 4.25 petang melibatkan seorang penunggang motosikal yang bekerja sebagai E-hailing dengan sebuah kereta jenis Honda Civic.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu Honda Civic lelaki berusia 27 tahun dari arah One Sulaman menuju ke Likas. Sewaktu kereta Honda Civic di lorong kanan dan apabila terdapat sebuah kenderaan lain di hadapannya bergerak perlahan.
“Pemandu terbabit menukar ke lorong tengah untuk memotong sebelum tiba-tiba kenderaannya bergesel di bahagian tepi belakang sebelah kiri dengan motosikal yang ditunggang mangsa.
“Akibat daripada itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya bersama motosikal Yamaha Lagenda miliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Likas oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kalsom memaklumkan siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- KOSMO! ONLINE