MELBOURNE, Australia – Seorang lelaki di kawasan peranginan Gold Coast yang merakam dirinya meluncur di laut bersama ular peliharaan didenda oleh pihak berkuasa hidupan liar Australia. lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC) hari ini.
Higor Fiuza dan ular sawa karpetnya, Shiva menjadi selebriti tempatan awal bulan ini selepas video memaparkan dia dan reptilia itu meluncur bersama menjadi tular.
Namun, kemasyhuran tersebut tidak kekal lama berikutan Higor mendapat perhatian pegawai-pegawai perlindungan hidupan liar.
Pihak berkuasa hidupan liar berkata, lelaki tersebut membahayakan Shiva dan melanggar permit memelihara ular itu dengan membawanya keluar di khalayak ramai.
Jabatan Alam Sekitar dan Sains Queensland berkata, pihaknya mula menyiasat peluncur itu selepas Fiuza muncul dalam media tempatan. Dia didenda A$2,322 (RM7,011) pada Khamis lalu.
Membawa haiwan peliharaan asli seperti ular di khalayak ramai boleh menyebabkan binatang tersebut tertekan dan berkelakuan dengan cara yang tidak dapat diramalkan, kata pegawai hidupan liar, Jonathan McDonald dalam satu kenyataan. – Agensi