fbpx

Busana kanak-kanak semarakkan Hari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebijaksanaannya memadankan fabrik celoreng dengan polos begitu mempesona.

HARI Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun menjadi sambutan penting yang membawa orang ramai untuk mengimbau kembali sejarah negara mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Justeru, bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, seorang penggubah hantaran yang turut berbakat menghasilkan beberapa busana buat kanak-kanak mengambil peluang itu untuk menghasilkan busana Hari Malaysia, khusus untuk anak saudaranya dan sebagai koleksi sendiri.

Ziddaini Putra Yazit, 45, berkata, dia menghasilkan busana buat anak saudaranya sekadar suka-suka kerana mahu turut sama memeriahkan sambutan.

“Saya tidak menjual koleksi pakaian ini memandangkan ia dihasilkan khusus buat anak saudara saya yang menggayakannya semasa sambutan Hari Malaysia di sekolahnya.

“Selain itu, ia juga sebagai memberi inspirasi kepada orang ramai yang mungkin berminat untuk turut sama menghasilkan busana bertema sebegini,” katanya kepada Stailo.

Ujar anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu lagi, dia menghasilkan sendiri reka corak dan padanan warna pada fabrik bermotif celoreng itu yang digunakan pada setiap rekaannya.

Rona-rona biru, kuning, merah dan putih yang digunakan pada celoreng tersebut diambil daripada warna-warna yang ada pada bendera Jalur Gemilang.

Selain celoreng, Ziddaini turut menggunakan fabrik putih polos dengan sulaman bunga raya yang turut dipadankan pada beberapa jenis busana.

SI cilik tampil menarik dengan busana etnik Borneo.

Jelas Ziddaini, dia menghasilkan sembilan rekaan pada koleksinya yang terdiri daripada pakaian tradisional kaum Melayu seperti baju Melayu dan baju kurung, pakaian tradisional kaum lain dan etnik Borneo untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Bagi busana masyarakat Iban, saya menggantikan corak pua kumbu yang digunakan pada busana tersebut kepada motif celoreng ini bagi memberi sedikit kelainan,” katanya.

Akui Ziddaini, pakaian masyarakat Kadazan Dusun yang dihasilkan bagi koleksi itu juga merupakan koleksi paling mencabar untuk dihasilkannya.

“Bagi pakaian masyarakat Kadazan Dusun, saya membuat rujukan dengan pakar-pakar yang terdiri daripada masyarakat Kadazan Dusun sendiri kerana biarpun pakaian ini tidak dihasilkan untuk tujuan pasaran umum, namun saya tidak mahu menghasilkan pakaian kaum ini atau mana-mana kaum sekalipun secara semberono,” katanya.

Tambahnya, sudah ada yang berminat untuk membeli fabrik celoreng yang dihasilkannya, namun Ziddaini berkata, dia tidak berniat untuk menjual fabrik itu kepada orang lain.

“Fabrik ini saya tempah khas dari sebuah kilang dan sudah ada yang menyatakan hasrat untuk membelinya daripada saya.

“Begitu pun, saya terpaksa menolak memandangkan busana ini saya hasilkan khusus buat sambutan Hari Malaysia anak saudara saya bagi tahun ini dan koleksi sendiri,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI