SEGAMAT – Seorang pemuda terselamat selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandu ‘terbang’ dan merempuh kaki lima kedai runcit di Kilometer 1, Jalan Segamat-Muar di sini, petang semalam.
Kejadian pada pukul 6.15 petang itu turut menyebabkan seorang penumpang kereta iaitu wanita cedera.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila pemandu berusia 25 tahun mahu mengelak anjing dan sebuah motosikal berhampiran lokasi tersebut.
“Ini mengakibatkan kereta itu terbabas. Pemandu terselamat manakala teman wanitanya berusia 22 tahun cedera di leher. Wanita itu dirawat Hospital Daerah Segamat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Tambah Ahmad Zamry, ketika kejadian, Perodua Myvi tersebut dalam perjalanan dari Jementah menghala ke Segamat.
Sewaktu kejadian, premis tersebut tiada pelanggan. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59). -KOSMO! ONLINE