KAPTEN Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat menyifatkan skuad Harimau Selatan itu tidak sabar untuk mengganas pada pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini apabila berdepan Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan, malam ini.
Jordi memberi jaminan kepada penyokong tuan rumah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) akan disajikan dengan persembahan bertenaga dalam usaha mengorak langkah kanan untuk mengutip tiga mata yang pertama.
“Persiapan pasukan sangat baik dan kami telah berlatih bersungguh-sungguh, semua pemain cergas dan bersedia untuk diturunkan. Kami berharap dapat memberi persembahan terbaik dan memberi kegembiraan buat penyokong yang hadir.
“Walaupun sedar pasukan yang kami akan hadapi adalah pasukan yang hebat, kami hormati mereka dan dalam masa yang sama kami juga sentiasa bekerja keras untuk berjaya dan menjadi pasukan lebih baik,” katanya.
Katanya, status dimiliki oleh Kawasaki Frontale tidak menggugat tumpuan Harimau Selatan yang akan memberi saingan bagi memastikan tiga mata pertama berjaya diraih.
“Pertemuan esok adalah dua pasukan yang cuba menjadi lebih dominan dan menguasai permainan. JDT sudah terbiasa dengan situasi itu ketika beraksi di Liga Malaysia dan esok kami juga akan buat perkara yang sama.
“Ini adalah perlawanan pertama, ada banyak perlawanan sukar yang perlu ditempuhi, jadi kami perlu bersedia, cuba menguasai permainan, bertahan dengan agresif dan saya yakin ini mampu dilakukan.
“Kami sudah menganalisa kemampuan mereka termasuk dari segi set-pieces, kami pun tidak kurang hebatnya. Kami mempunyai pasukan yang kuat dibarisi ramai pemain berkualiti yang boleh jaringkan gol, kami sudah bersedia,” jelasnya.