KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah The Starhill mengumumkan kemasukan jenama kedai buku dari Taiwan, Eslite Spectrum sebagai penyewa utamanya dan bakal memulakan operasi pada 2022.
Bukan sekadar kedai buku, jenama tersebut turut menawarkan bahagian muzik, barangan reka bentuk dan kraftangan, persembahan kesenian, restoran tema dan kedai kopi, jenama gaya hidup serta pelbagai jenama kebudayaan dan kreatif terkini.
Gedung Eslite Spectrum akan mengambil kawasan seluas 6,520 meter persegi, memenuhi sepenuhnya ruangan di aras satu serta menampilkan kedai makanan dan minuman menghadap jalan di aras bawah, bersebelahan The Starhill Piazza.
Naib Presiden YTL Land & Development Bhd., Joseph Yeoh berkata, kehadiran Eslite Spectrum sebagai penyewa utama merealisasikan cita-cita syarikat untuk mewujudkan sebuah perpustakaan gaya hidup sebagai elemen penting di The Starhill.
“Aspirasi mereka menepati cita-cita The Starhill dalam mewujudkan destinasi sosial premium terulung untuk meraikan acara kesusasteraan, kesenian, fesyen, reka cipta, muzik, makanan dan kreatif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Sebagai ikon kebudayaan terkemuka Taiwan, Eslite Spectrum pernah dipilih oleh Time Magazine dan CNN sebagai ‘Kedai Buku Terbaik di Asia’ dan ‘Kedai Buku Paling Cool di Dunia.’
Ia dianggap sebagai gedung yang paling menjiwai kebudayaan Taiwan oleh rakyat negara itu serta para pelancong, menjadikannya sebagai salah sebuah destinasi membeli-belah dan menjamu selera yang wajib dikunjungi di Taiwan.
Pengerusi Eslite Group, Mercy Wu berkata, pihaknya berbesar hati dapat mewujudkan gedung pertamanya di Asia Tenggara, di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.