fbpx

Rasuah sebagai ‘norma biasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMAD AZLAN JAAFAR
PENGARANG KUMPULAN MEDIA MULIA

Media sejak semalam melaporkan mengenai penahanan 46 individu termasuk 27 pegawai Jabatan Imigresen di empat negeri membabitkan kegiatan rasuah dan salah guna cap sempadan.

Dalam serbuan serentak Operasi Selat itu, penahanan membabitkan kakitangan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya.

Laporan menyatakan kakitangan imigresen berkenaan terbabit dalam kegiatan menyalahgunakan cap pasport warga asing walaupun mereka ini tidak keluar dari Malaysia.

Turut ditahan adalah anggota sindiket dan kakitangan di Kota Kinabalu dan Kuching.

Kegiatan yang menyasarkan pekerja asing serta pendatang asing tanpa izin (PATI) turut membabitkan orang tengah.

Dianggarkan kira-kira 200,000 warga asing menjadi ‘rakan’ sindiket ini. Jika diambil kira caj yang dikenakan sebanyak RM300 bagi setiap salah guna cap, kakitangan imigresen dan sindiket ini mengaut pendapatan RM60 juta bagi operasi yang bermula sejak PKP pada Mac lalu.

Permintaan oleh majikan kerana sekatan perjalanan merentas sempadan menjadikan warga asing sebagai sasaran ‘berharga’.

Memang berniaga manusia lebih menguntungkan seperti dalam filem popular Tiga Abdul yang dibintangi P. Ramlee. Sedutan filem ini seperti di bawah terpahat di minda ratusan ribu peminat seniman agung ini.

Abdul Wahub: Jikalau sekiranya saya membayar 2 kali ganda, 4 ribu pound… tuan setuju atau tidak?

Husin Lempoyang: 4 ribu pound?… WOW!!.. Ana setuju!

Memang WOW berniaga manusia. Kegiatan membabitkan pemerdagangan manusia sudah berlaku sejak dulu lagi.

Ramai masih ingat karektor Kunta Kinte daripada siri Roots yang mengisahkan keperitan hamba abdi yang diculik dari Gambia, dibawa ke Amerika Syarikat dan dijual sebagai hamba kepada keluarga kulit putih.

Pada abad ke-21, perniagaan membabitkan manusia terus berleluasa. Dua perkara menjadikan kegiatan ini lebih jijik. Pertama, ketika sebahagian besar rakyat berdepan tekanan hidup, pengangguran, kehilangan pekerjaan dan masa depan tidak menentu, ada pihak dengan mudah mengaut ‘keuntungan’ dengan berniaga manusia dan hanya menggunakan cap.

Kedua, dengan segala kempen antirasuah, kelas agama, pendidikan, amaran, pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan, masyarakat terus dibebani kisah sama.

Walaupun bukan semua, perkara ini yang sering berulang seperti rancangan di tv satelit, menjadikan masyarakat yang tekun, amanah, disiplin serta mematuhi undang-undang berasa jelak.

Sudahlah dalam keadaan tekanan hidup dalam norma baru.

Mungkin benar seperti dalam filem itu… “Dunia…dunia… berniaga manusia lebih bagus daripada unta.” Ketika rakyat Malaysia kini hidup dalam ‘norma baharu’, rasuah terus menjadi ‘norma biasa’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI