KUANTAN – Seorang pembantu kedai maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Penjara Penor di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku ketika mangsa, Asrol Arman Abdul Rahman, 20, dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Pekan.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan dan melanggar tiang lampu.
“Mangsa yang parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini untuk dibedah siasat dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus dan semasa kejadian cuaca adalah baik, namun keadaan agak gelap tanpa lampu jalan.
Siasatan awal mendapati mangsa terbabas sendiri dan kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain. – KOSMO! ONLINE