KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,953 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) Polis Kuala Lumpur yang memasuki hari ketiga perlaksanaannya, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan halangan lalu lintas merekodkan jumlah saman paling tinggi dikeluarkan.
“Sebanyak 4,637 saman halangan lalu lintas dikeluarkan diikuti kesalahan lain-lain (927 saman) dan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (203 saman).
“Kesalahan hingga disaman antaranya tiada lesen memandu bagi individu tempatan (106 saman), jalan semasa lampu isyarat merah (41 saman), ubah suai nombor pendaftaran (20 saman), berhenti di petak kuning (5 saman) dan tiada lesen memandu warga asing (empat saman),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarifudin berkata, tiada sitaan dibuat dalam operasi berkenaan, semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, 11 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut termasuk mabuk, menjalankan operasi parkir haram, memiliki kenderaan curi serta kes dadah.
“Seramai 40 pegawai serta 664 anggota trafik terbabit dalam 16 operasi dijalankan di sekitar ibu kota, semalam.
“Antara operasi yang dijalankan adalah Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik,” katanya. – KOSMO! ONLINE