PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di dua buah negeri pagi ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook berkata, amaran dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku di beberapa daerah di Johor dan Sarawak sehingga 12 tengah hari ini.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di berlaku negeri Johor melibatkan daerah Mersing dan Kota Tinggi.
“Sementara itu, amaran sama dikeluarkan bagi daerah di Sarawak iaitu di Betong (Saratok), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi),” katanya di sini hari ini.
Katanya amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE