BATU PAHAT – Seorang lelaki yang dilaporkan keluar dari rumah dengan menunggang sebuah motosikal pada malam Jumaat lalu, ditemui maut di dalam parit di Kampung Parit Lapis Sempadan, Parit Raja, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Nazrul Aziz, 20, ditemukan oleh penduduk kampung bersama motosikalnya kira-kira pukul 11.30 pagi.
Katanya, orang awam menemui mayat tersebut dalam keadaan terapung sebelum membuat panggilan kecemasan.
“Mangsa ditemui lengkap berpakaian dan dipercayai mati lebih sehari. Pasukan Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam diketuai Ketua Balai, Mohd Shamin Mohd Salikin, membantu mengeluarkan mangsa dan motosikalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Ismail lagi, mangsa dipercayai dikenali sebagai Muhammad Nazrul dari Parit Raja, berdasarkan pengecaman awal keluarga melalui pakaian, jam, telefon bimbit dan motosikal mangsa.
“Kes dikasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat, “katanya. – KOSMO! ONLINE