JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemui mati lemas dipercayai ketika menjala ikan di Sungai Tebrau, di sini hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Shahril Sapar berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 12.42 tengah hari.
Sehubungan itu, 15 anggota termasuk daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejar ke lokasi kejadian.
“Unit PPDA melakukan kaedah ‘skin dive’ untuk membuat pencarian. Mangsa kemudiannya ditemui pada pukul 3.35 petang pada jarak lima meter dengan kedalaman empat meter dari lokasi dilaporkan terjatuh.
“Mangsa yang dikenali sebagai Norazmi Saamin, 39, itu disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian dan operasi ditamatkan pada pukul 4.17 petang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE