fbpx

Pernas sasar labur sektor tenaga, kenderaan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbada­nan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan untuk membuat pelaburan terhadap bidang baharu seperti sektor tenaga dan kenderaan elektrik dan bidang-bidang yang berkaitan dengan sektor tersebut.

Ketua Bahagian Pelaburan Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah berkata, sasaran itu bagi mendukung aspirasi kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Malah, ia juga didorong kemasukan pelaburan syarikat kenderaan elektrik terkemuka dunia, Tesla yang akan mula beroperasi secara rasmi di negara ini.

“Banyak peluang yang boleh diterokai dengan perusahaan-perusahaan yang berkaitan dengan sektor-sektor tersebut. Contoh­nya, syarikat yang terlibat dengan tenaga boleh ubah, penjimatan tenaga, waste to energy, pembuatan kenderaan elek­trik dan bateri serta teknologi kecerdasan buatan.

“Kita ada mengenal pasti syarikat ini dan dalam portfolio ketika ini, kita sedang menilai tiga buah syarikat yang terlibat sektor selari dengan aspirasi kerajaan. Kita menyokong dan insya-Allah, ia akan jadi pulangan yang menarik buat Pernas dan pada masa sama membantu syarikat ke arah tahap lebih tinggi,“ katanya dalam wawancara Jom Ceburi Pelaburan Ekuiti bersama MMTV.

Pada masa sama, katanya, Pernas turut meletakkan sektor baharu sebagai salah satu strategi bagi memastikan pulangan pelaburan tercapai.

“Sebab itu, kita mendukung hasrat kerajaan melabur sektor bidang baharu, tenaga baharu, perusahaan kereta elektrik serta syarikat terlibat stesen kenderaan elektrik untuk dilihat potensi sama ada boleh buat pelaburan.

“Jadi, bidang baharu ini selari dengan hasrat kerajaan, walaupun penggunaan kereta elektrik masih kecil tapi dijangka empat ke lima tahun akan datang, kebanyakannya akan ke arah kenderaan elektrik,” katanya.

Di sebalik sasaran itu, Pernas terus memegang mandatnya dalam membangunkan industri francais negara serta mengimbangkan kemampanan kedudukan kewangan Pernas untuk jangka panjang dengan menyediakan pelaburan ekuiti. Selain itu, Pernas juga masih mengekalkan tumpuan terhadap potensi perusahaan-perusahaan sedia ada seperti pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan.

“Bahagian pelaburan ekuiti Pernas tidak terhad kepada francais sahaja tapi kita ingin meneroka peluang menyokong perusahaan kecil dan sederhana yang berpotensi bantu kembangkan perniagaan mereka ke tahap seterusnya.

“Jadi, Pernas memastikan untuk dapat pulangan setimpal melalui pelaburan ekuiti kepada perusahaan dan kita terbuka kepada francais dan bukan francais,” kata Tengku Moha­med Fadhli.

Pernas menawarkan empat jenis skim pelaburan iaitu Skim Mezzanine, Skim Pra-IPO, Skim IPO dan Skim Francais untuk pelbagai sektor seperti pembuatan, teknologi, penjagaan kesihatan, perkhidmatan dan lain-lain sektor yang mempunyai potensi untuk dikembangkan kecuali sektor hartanah, pembinaan perlombongan dan pertanian yang berasaskan penyewaan.

Terdapat empat kriteria syarikat yang menjadi sasaran Pernas iaitu minimum tiga tahun berturut-turut Keuntungan Selepas Cukai (PAT) dengan PAT terakhir mencatatkan sekurang-kurangnya RM1 juta, dana pemegang saham minimum RM2 juta, trend pertumbuhan positif dan mempunyai potensi untuk berkembang dan syarikat perlu berdaftar dengan Pendaftar Francais (ROF) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) bagi syarikat berasaskan francais.

Pernas menawarkan tiga jenis mod pelaburan yang ditawarkan iaitu saham biasa, saham ke­utamaan dan kombinasi kedua-dua mod tersebut, manakala bagi setiap pelaburan yang dilakukan Pernas, pegangan ekuiti minimum adalah sebanyak 10% dan maksimum 49% dalam syarikat sasaran.

Kadar dividen pula sekurang- kurangnya 8% setahun, (tertakluk kepada nisbah pengedaran maksimum sebanyak dua kali) sementara saiz pelaburan adalah sebanyak RM2 juta hingga RM15 juta dengan tempoh pelaburan maksimum selama lima tahun.

Bagi memastikan objektif pelaburan tercapai, Pernas me­laksanakan tiga strategi iaitu meningkatkan usaha pemasaran dengan mendapatkan syarikat-syarikat berpotensi untuk melabur, pemasaran terus dan penyertaan seminar; mempertimbangkan mod atau instrumen pelaburan lain seperti pembelian atau pengambilalihan saham dan usahasama melalui ekuiti, pembiayaan saham atau pembiayaan hutang serta menawarkan ins­trumen pembiayaan pelaburan yang komprehensif serta patuh syariah.

Antara inisiatif dilakukan Pernas ketika ini adalah menawarkan pilihan ‘Call Option’ diberikan kepada usahawan Bumiputera syarikat yang dilabur, yang pada tahun terakhir pelaburan, usahawan tersebut boleh membeli kembali saham daripada Pernas pada harga yang berpatutan berbanding harga pasaran.

Imbas di sini untuk saksikan video wawancara.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI