fbpx

MYTV sasar 7 juta pengguna menjelang hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (kiri) bersama Richard Kitts (dua kiri) dan Azlina dalam Majlis Pelancaran Kempen ‘Why Pay?’ di AEON Shah Alam, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

SHAH ALAM- MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. menyasarkan seramai 7 juta pengguna siaran televisyen dan stesen radio percuma mereka menjelang hujung tahun ini melalui kempen “WHY PAY?” yang dilaksanakan sejak Jun lalu.

Ketua Pegawai Operasinya, Azlina Mohd. Yusof berkata, usaha itu adalah misi MYTV dalam memberi rakyat Malaysia akses dan ketersambungan kepada 17 siaran televisyen tempatan dan 14 siaran radio tempatan free-to-air di rumah tanpa bebanan bil dan komitmen bulanan.

“Setakat ini, kita sudah mencapai 6.35 juta. Kami sasarkan untuk mencapai 7 juta isi rumah pada hujung tahun ini.

“Sila dapatkan dekoder serta antena untuk pemasangan MYTV secara percuma dan tiada sebarang yuran bulanan dikenakan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran WHYPAY di Aeon Mall Shah Alam, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Penasihat Khas Yayasan Al Bukhary, Datuk Seri Abdul Aziz Shahar dan Ketua Pegawai Altel Holdings Sdn. Bhd. Richard Kitts serta dihadiri bintang popular, Bell Ngasri.

Mengulas lanjut pelancaran WHYPAY, Azlina memberitahu, pengguna MYTV juga boleh memilih untuk menonton pelbagai seleksi filem serta konten menarik daripada penyiar tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, pelanggan juga boleh menonton siaran dan radio percuma di platform streaming MYTV Mana-Mana.

“Pelancaran seterusnya akan dilaksanakan di negeri Perak, Utara, Selatan dan juga Negeri Sembilan.

“Bagi negeri-negeri sebelah Timur, Sabah dan Sarawak dijangka bermula tahun depan atas faktor musim tengkujuh yang selalu berlaku hujung tahun.

“Kita sebenarnya sudah menjelajah ke 10 daripada 168 lokasi bermula Jun dan akan pertingkatkan lagi penjelajahan bermula Oktober sehingga Mac tahun hadapan,” ujarnya.

Katanya, peningkatan jumlah pengguna MYTV mampu menarik minat para pengiklan besar untuk bekerjasama dengan syarikatnya

“Cabaran yang kami hadapi adalah berkait keadaan ekonomi yang mana kita juga perlu bersaing dengan perkhidmatan televisyen digital yang lain.

“Bagaimanapun, MYTV yakin melalui kempen MYPAY ini, kita mampu menembusi kesemua isi rumah di Malaysia,” tambahnya, – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI