PETALING JAYA – “Kalau bukan penyondol, nak panggil apa?”
Demikian antara luahan bekas isteri penyanyi Datuk ND Lala, Fauziah Sarman, 55, berhubung konflik rumah tangganya yang masih belum berkesudahan walaupun mereka sudah sah bercerai.
Perkara tersebut diluahkan selepas bekas suaminya meminta dirinya dan netizen tidak menggelarkan isteri baharunya, Siti Munirah Abdul Ghani sebagai penyondol.
Menurut Fauziah yang juga ibu kepada penyanyi Shila Amzah, perempuan itu tetap dicop penyondol disebabkan perbuatannya memusnahkan rumahtangga orang.
“Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, Saya enggan tarik balik gelaran penyondol untuk budak ini,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu tetap bersyukur sudah bersedia dari segi mental sebelum ditinggalkan ND Lala.
“Sejujurnya, saya sangat bersyukur sikap jarang balik ke rumah dan ada tahap langsung tidak pulang merupakan satu latihan yang Allah susun sangat cantik.
“Apabila semuanya terbukti benar, saya sudah cukup kuat dan boleh menerima kenyataan sebab sudah terbiasa ditinggalkan.
“Malah, ketika rumah keluarga kami ditimpa musibah banjir besar, saya melaluinya bersama anak-anak dan Allah kirimkan ramai manusia lain untuk membantu kerana ketua keluarga kami menghilang,” luahnya lagi.
“Dengan situasi ini, saya nekad untuk berpisah sejak Jun 2023 tetapi bertahan demi anak kesayangan saya, Shila yang meminta saya tangguhkan sehingga majlis pernikahannya 5 Ogos 2023.
“Jadi sebagai ibu, saya cuba memujuk hati walaupun saya telah reda untuk berpisah,” ujarnya.
Luahan Fauziah dibuat setelah ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Amzah Salleh, 62, bersuara menerusi sebuah video panjang dalam media sosial minggu lepas yang menepis dakwaan isteri mudanya, Siti Munirah adalah penyondol.
Awal lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan lafaz cerai ND Lala terhadap Fauziah secara ‘voice note’ (rakaman suara) dalam aplikasi WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga selama 34 tahun itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Shahila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada yang sudah berusia 25 tahun. – KOSMO! ONLINE