MARANG – Pengunjung Pantai Pulau Kekabu di sini dinasihatkan berwaspada berikutan kes sengatan ubur-ubur yang dilaporkan berlaku di kawasan peranginan tersebut, baru-baru ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, ia susulan kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun pada 9 September lalu.
“Difahamkan, mangsa tiba di Pantai Pulau Kekabu untuk beriadah bersama keluarga sebelum terkena sengatan pada pukul 5.20 petang.
“Sewaktu sedang bermain air, mangsa tiba-tiba berasa sakit dipercayai terkena sengatan ubur-ubur dan menerima rawatan awal daripada anggota penyelamat pantai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, kes sengatan itu tular setelah gambar ubur-ubur yang dikatakan telah menyengat mangsa dimuat naik di media sosial.
Sehubungan itu, ramai pengunjung mengakui pernah berdepan dengan kejadian sama menyebabkan mereka trauma untuk mandi di pantai berkenaan. – KOSMO! ONLINE