fbpx

Jalur 14 dokumentari e-Sukan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL MERICAN (dua dari kanan) berharap dokumentari Jalur 14 yang bakal ditayangkan nanti dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi industri e-Sukan.

PLATFORM saluran e-Sukan syarikat televisyen berbayar Astro, eGG Network bakal me­lancarkan dokumentari Jalur 14, sebuah siri dokumentari lima episod berkisarkan kebangkitan industri e-Sukan dan permainan video di Malaysia sejak 14 tahun lepas.

Dokumentari itu berjaya di­siapkan hasil kerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Integrated (ESI) serta bakal menampilkan 14 ikon e-Sukan Malaysia.

Antara yang disenaraikan adalah pemenang pingat emas pertama e-Sukan negara, Dr. Yew Weng Kean, Chai Yee Fung (Mushi), Ng Wei Poong (YamateH), Fariz Zakaria (Soloz), Ahmad Fuad Razali (Fredo) dan Andriyana Mohamed Ghazali (ChuChu Gaming).

Kesemua atlet ini akan menceritakan mengenai cabaran dan pengalaman mereka sepanjang perjalanan meletakkan Malaysia di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihak kerajaan sentiasa percaya serta menyokong perkembangan industri e-Sukan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Dengan peruntukan RM15 juta untuk e-Sukan dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini, kami percaya dana tersebut dapat membuka ruang dan peluang untuk meningkatkan kemahiran golongan belia yang meminati industri ini.

“Justeru, kami sangat berbangga dengan bakat-bakat yang bakal dipertontonkan dalam dokumentari Jalur 14 selain berharap kisah mereka dapat memberi inspirasi buat semua.

“Pemain ini adalah tulang belakang kepada seluruh industri dan sebuah ekosistem yang lestari tidak mengeksploit dan membiar­kan pe­main tanpa dilindu­ngi,” katanya pada majlis pelancaran Jalur 14 di Putrajaya pada Isnin lepas.

KISAH atlet e-Sukan negara yang berjaya mencipta reputasi akan disiarkan dalam dokumentari Jalur 14 yang ditayangkan bermula 26 November ini di saluran 800 Astro eGG Network.

Sementara itu, ketua bahagian sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, penghargaan yang penuh diberikan kepada ESI dan KBS yang memberikan kerjasama selain menyokong industri e-Sukan sehingga terhasilnya dokumentari Jalur 14 ini.

“Jalur 14 menceritakan me­ngenai kisah barisan atlet ­e-Sukan negara yang berjaya mencipta ­reputasi dalam industri ini.

“Secara jujur, saya sangat gembira apabila KBS terus mengiktiraf dan menyokong arena ­e-Sukan dengan jalinan kerjasama ini dan saya percaya ia adalah salah satu langkah dalam memperkenalkan bakat tempatan secara menyeluruh,” kata Choong Kay.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir percaya Jalur 14 akan menjadi platform terbaik bagi memperluaskan pengenalan terhadap industri ­e-Sukan ke seluruh tanah air.

“Saya percaya Jalur 14 adalah permulaan dalam berkongsi pe­ngalaman atlet e-Sukan tanah air dan saya harap lebih ramai lagi pemain muda dapat diperkenalkan untuk edisi akan datang,” ­katanya.

Episod pertama Jalur 14 akan ditayangkan bermula 26 November ini di saluran 800 Astro eGG Network.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN