fbpx

Buasir hilang lepas amal makan siput gondang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zulfikar menunjukkan siput gondang yang dijualnya di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Kuala Nerus semalam.

KUALA NERUS – Seorang lelaki lega apabila bebas daripada penyakit buasir selepas mengamalkan memakan siput gondang hitam seperti disarankan ibunya.

Mohd. Zulfikar Ismail, 32, berkata, dia pulih pada 2014 selepas memakan siput tersebut untuk dibuat ubat buasir.

“Selepas itu, penyakit buasir yang saya hidapi pulih secara beransur-ansur. Ia kemudian mendorong saya menjadi penternak siput gondang hitam dengan niat mahu membantu insan lain yang turut menderita buasir.

“Untuk menarik perhatian pelanggan, saya menjual sate dan siput gondang hitam bakar sejak seminggu lalu dan tak sangka ia mendapat permintaan ramai,” katanya ketika ditemui di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini semalam.

Menurut Mohd. Zulfikar, sate makanan eksotik berharga RM2 itu mendapat sambutan memberangsangkan kerana ia mampu dijual sehingga 300 cucuk sehari.

Tambahnya, pelanggan memaklumkan rasa isi siput itu seperti kerang dan bagi siput bakar ia dijual antara RM5 hingga RM7 seekor mengikut saiz.

“Orang lama memang minat sate siput gondang sebab ia seolah-olah menggamit kenangan mereka ketika kecil,” katanya.

Ujar Mohd. Zulfikar, dia berniaga di situ setiap Selasa, Khamis dan Sabtu bermula pukul 5.30 petang hingga 12 tengah malam.

“Hari lain saya memberi tumpuan menternak siput gondang hitam di kawasan rumah di Padang Negara, Kuala Terengganu.

“Saya juga menjual siput gondang hidup pada harga RM15 sekilogram, manakala RM75 bagi yang siap diproses,” katanya.

Mohd. Zulfikar berkata, ramai pelanggannya mengakui keberkesanan siput gondang hitam merawat penyakit buasir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI