fbpx

PM lawat China, dijangka beri ucapan perasmian CAEXPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke China bermula esok bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Nanning, Wilayah Guangxi.

Lawatan kerja dibuat atas jemputan Premier China, Li Qiang di mana ia turut diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming selain pegawai kanan kerajaan.

Menurut Kementerian Luar, Anwar dijadual menyampaikan ucapan semasa Majlis Perasmian CAEXPO dan China-ASEAN Business and Investment Summit (CABIS) bersama Li Qiang dan pemimpin ASEAN lain.

“Selain daripada menghadiri ekspo itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Li Qiang.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan status hubungan dua hala Malaysia-China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Li Qiang juga akan menghoskan makan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

CAEXPO merupakan acara pameran antarabangsa terbesar dianjurkan oleh China dan ASEAN yang berfungsi sebagai platform bagi ahli perniagaan dan perusahaan dari rantau ASEAN dan China meneroka kerjasama serta mempromosikan produk.

Malaysia telah menyertai ekspo itu sejak 2004 di mana pada tahun ini sebanyak 107 syarikat Malaysia menyertainya di bawah Astaka Malaysia.

Antara industri dipromosikan Malaysia termasuk perkhidmatan, makanan dan minuman selain kesihatan, kesejahteraan, gaya hidup dan produk hijau.

Penyertaan Malaysia dalam CAEXPO adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjalin hubungan ekonomi yang lebih erat dengan China dan komuniti perniagaan lain.

Pada tahun 2022, China merupakan rakan dagangan terbesar ASEAN dengan nilai dagangan berjumlah RM3.19 trilion (USD722.2 bilion) iaitu meningkat 7.8 peratus daripada tahun 2021.

Nilai pelaburan langsung asing dari China ke ASEAN pula dicatatkan sebanyak RM67.52 bilion (USD15.3 bilion) pada tahun yang sama. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI