fbpx

P. Pinang sokong usaha rancang, laksana agenda pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Ahmad Fuzi (duduk, tengah) hadir merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri di Dewan Millenium Kepala Batas, hari ini.

SEBERANG PERAI – Pulau Pinang akan terus menyokong usaha Kerajaan Pusat untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendirian itu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, wadah Ekonomi Madani; Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang digariskan sebelum ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini telah menambah sebanyak RM15 bilion ke dalam peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) demi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat, menjamin bekalan air bersih dan sebagainya.

“Siling perbelanjaan RMK-12 ini telah mengambil kira jangkaan kekal dalam sasaran defisit 3.5 peratus menjelang 2025 yang penting bagi pembangunan ekonomi negara termasuk di Pulau Pinang.

“Ini memandangkan ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak RM112.1 bilion.

“Lazimnya, sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tertinggi yang mencatatkan peningkatan sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak 15.9 peratus berbanding 12.4 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di Dewan Millenium Kepala Batas.

Dalam pada itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) diumumkan sebagai pemenang bagi kategori sektor awam bagi Pertandingan Perarakan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Batu Kawan baru-baru ini sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, sijil penyertaan serta piala.

Tempat kedua menjadi milik Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) manakala tempat ketiga pula diraih oleh Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (PDTSPS) dengan kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 dan RM1,000 selain sijil penyertaan.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinobatkan johan bagi kategori swasta, diikuti oleh Kompeni Ke-3 Butterworth Briged Putera Malaysia di tempat kedua dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di tempat ketiga.

Pemenang utama lain adalah Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (PPKK ILKKM) Bahagian Pergigian iaitu bagi kategori Institut Pengajian Tinggi & Latihan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin (kategori pancaragam) dan SMJK Perempuan China Pulau Pinang untuk bagi kategori Badan Beruniform Sekolah.

Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang diraikan sebagai hari kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan yang telah dilancarkan pada 21 Julai lalu di Padang Kota Lama, George Town. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI