IPOH – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan pertambahan penumpang sehingga 2,000 orang sehari menerusi pembukaan tiga stesen baharu KTM Komuter Utara.
Ketua Pegawai Korporat KTMB, Mohamed Suhaimi Yaacob berkata, pertambahan penumpang itu bagi perjalanan dari Stesen Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar ke stesen lain di laluan KTM Komuter Utara antara Ipoh ke Butterworth, Pulau Pinang.
“Ada penumpang yang kita dapat ‘tangkap’ daripada perkhidmatan tren elektrik (ETS), di mana dengan ETS antara 1,000 ke 1,500 penumpang sehari (ke utara).
“Jadi, dengan tiga stesen baharu ini, kita jangka berlaku peningkatan penumpang harian sehingga 2,000 orang di mana ia bukan hanya melibatkan waktu puncak malah ketika hari minggu dan cuti umum,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka KTMB sempena Sambutan Hari Malaysia di Stesen Kereta Api Ipoh di sini hari ini.
Menurut beliau, perkhidmatan KTM Komuter Utara sebelum ini melalui 20 stesen kereta api dengan 20 kekerapan perjalanan ulang-alik sehari.
“Kekerapan bagi satu kereta api komuter kepada satu komuter lain adalah satu jam bagi waktu biasa sementara dua jam bagi waktu puncak.
“Namun, kami merancang untuk menambah baik sistem perkhidmatan ini dengan menambah lebih banyak bilangan gerabak pada masa akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, Sze Yee berkata, pembukaan tiga stesen baharu bagi perjalanan komuter ke utara dari Ipoh-Butterworth-Ipoh bermula hari ini bakal merancakkan lagi sektor pelancongan terutama menjelang Tahun Melawat Perak 2024.
Katanya, ia memberi pilihan kepada pengguna yang mahu mengelakkan kesesakan di jalan raya.
“Perkhidmatan ini akan merancakkan lagi pergerakan dua hala bukan sahaja dari segi komersial dan industri malah dalam aspek pelancongan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.