PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas keretanya terbakar bersama empat kenderaan yang lain di tempat letak kereta di Jalan PJS 6/G, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan insiden itu pada pukul 2.45 pagi tadi.
Katanya, seramai lima anggota serta sebuah jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati kebakaran melibatkan empat buah kenderaan yang diparkir di tempat tersebut.
Antara kereta yang terbakar adalah Ford Telestar sebanyak 100 peratus diikuti Naza Citra (50 peratus), Proton Wira (5 peratus) dan sebuah lori jenis Daihatsu (5 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mukhlis, pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga emas berada di dalam salah satu kereta yang tebakar.
“Terdapat satu mangsa lelaki tempatan berusia 67 tahun ditemui rentung terbakar dalam sebuah kereta jenis Naza,” katanya.-KOSMO! ONLINE.