PETALING JAYA – Akademi Tunas (AT) Seberang Perai Utara 2 muncul juara Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global 2023 pada aksi final yang berlangsung di Seriemas Sportplex, Nilai, Sabtu lepas.
Yakult Malaysia dalam satu kenyataannya berkata, sebanyak 16 pasukan terbaik dari seluruh negara yang teah menyertai Yakult Piala Global 2023 selepas mereka melepasi peringkat saringan mengikut zon.
Katanya, Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global mula dianjurkan pada tahun 2019 dan kemudiannya di hentikan seketika pada 2020 dan 2021 akibat penularan pendemik Covid 19 yang melanda dunia dan ia kemudian diteruskan semula bermula tahun lalu.
“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat muda tempatan bersaing dalam kejohanan kompetatif diperingkat umur 12 tahun.
“Selain itu juga ianya memberi peluang kepada bakat cilik tempatan untuk memperlihatkan bakat mereka untuk dinilai oleh pencari-pencari bakat yang sering hadir sepanjang kejohanan ini dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, kapten, AT Seberang Perai Utara 2, Anas Sufiyan Mohd. Arif menyifatkan kejayaan menjuarai Kejohanan Bola Sepak Yakult Piala Global 2023 adalah pencapaian luar biasa dan seperti mimpi menjadi kenyataan.
“Saya dan pasukan merasa seronok dengan kemenangan ini. Terima kasih juga kepada pihak penganjur, Yakult Malaysia atas ruang dan peluang yang diberikan keada kami semua bagi menyertai kejohanan ini.
“Pasukan kami mendapat tempat ketiga di peringkat zon dulu, selepas itu kami berlatih bersungguh-sungguh untuk target menjadi juara pertandingan kali ini dan alhamdulillah, kami berjaya.
“Cita-cita saya untuk memasuki Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan seterusnya menjadi pemain bola yang terbaik untuk negara,” katanya.
Tempat kedua kejohanan itu dimenangi oleh Sentul Kickers manakala tempat ketiga dan keempat menjadi milik Grand Kubang Pasu dan AS Kiddy Warriors. – KOSMO! ONLINE