SUNGAI PETANI – “Ayah dan ibu pergi meninggalkan kami empat beradik sekelip mata, saya seperti hilang akal apabila memikirkannya.”
Demikian kata Muhammad Amirul Ikhwan Ridzuan, 17, anak sulung kepada pasangan suami isteri, Ridzuan Salleh, 42, dan Rosmawati Ismail, 39, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 87, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini kelmarin.
Kemalangan kira-kira pukul 2 petang itu berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli TNT dinaiki pasangan itu hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah jip tentera.
Selain Muhammad Amirul, pasangan itu turut meninggalkan tiga lagi anak mereka iaitu Muhammad Alif Irfan, 15, Nurin Alya Iwanie, 12, dan Muhammad Ridz Danial, 5.
Menurut Muhammad Amirul yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 5, Jeniang, dia menerima perkhabaran duka itu melalui aplikasi WhatsApp semasa berada di sekolahnya kira-kira pukul 3 petang.
“Ketika itu saya sedang mengikuti aktiviti kokurikulum dan terkejut apabila diberitahu ayah dan ibu terlibat kemalangan.
“Bagaimana saya dan tiga adik mahu meneruskan hidup tanpa ayah dan ibu selepas ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Ujarnya, tiada perubahan ditunjukkan selain ibu kerap berpesan supaya saya menjaga adik-adik jika mereka tiada.
“Ibu seolah-olah tahu dia akan pergi meninggalkan kami semua. Memang berat tanggungjawab yang ditinggalkan tetapi sebagai anak sulung saya perlu kuat dan tabah serta yakin mampu melaksanakan tanggungjawab ini.
“Saya tidak akan berpisah dengan adik-adik walau apa pun yang terjadi. Saya tetap akan menjaga mereka dengan perhatian bapa saudara dan jiran.
“Saya yakin mampu menunaikan tanggungjawab itu kerana adik-adik pun tidak mahu berpisah dan mahu kami semua tinggal bersama,” luahnya.
Kata Muhammad Amirul, pagi sebelum kejadian, bapanya sibuk mengemas rumah dan melepaskan semua haiwan peliharaan seperti arnab, burung puyuh, pelbagai jenis burung serta ikan di dalam kolam rumah mereka.
“Saya hairan dengan tindakannya itu kerana selama ini dia amat menyayangi semua haiwan peliharaannya itu,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang hubungan ibu bapanya, Muhammad Amirul berkata, hubungan mereka sangat romantik dan memang tidak pernah berpisah.
Dalam kemalangan kelmarin, Ridzuan yang merupakan anggota tentera berpangkat koperal dan bertugas di Kem Hobart, Jeniang dekat sini, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan melecur pada anggota badan.
Sementara isterinya, Rosmawati yang juga cedera parah pada anggota badan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HSAH.
Rempuhan kuat mengakibatkan pasangan suami isteri terbabit terperosok ke dalam ruang belakang jip jenis Isuzu itu manakala motosikal berkuasa tinggi terbakar.
Kejadian dikatakan berlaku ketika pasangan terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Permai Utama di Jalan Jeniang, dekat sini ke HSAH untuk menziarahi ibu Rosmawati yang sedang menerima rawatan.