fbpx

Agong, Permaisuri berhasrat santuni rakyat di lokasi tertinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berswafoto bersama tetamu pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri di Kota Kinabalu baru-baru ini. - FOTO ISTANA NEGARA

PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat singgah di beberapa lokasi di negeri Sabah dan Sarawak seperti yang telah dirancangkan.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini berkata, di negeri Sabah, rombongan Kembara Kenali Borneo tidak dapat singgah di Menara Kayangan, Lahad Dat yang telah dijadualkan pada 4 September 2023 dan Tagal, Sungai Moroli, Ranau pada keesokan harinya (5 September 2023).

Manakala di negeri Sarawak, rombongan pula tidak dapat mengunjungi Tokong Yu Lung Sian En Si, Sibu yang telah dijadualkan pada 11 September 2023. Rombongan juga tidak dapat mengunjungi Masjid Bandar Sri Aman dan kemudiannya, Fort Alice di Sri Aman pada keesokan harinya (12 September 2023).

“Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta rombongan tidak berkesempatan singgah di lokasi-lokasi tersebut atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan dan bukanlah disengajakan.

“Seri Paduka Baginda berdua, dalam menyantuni ribuan rakyat yang menunggu sepanjang jalan, juga mengejar masa untuk berangkat tiba di majlis-majlis santapan malam bersama rakyat yang melibatkan kehadiran ratusan atau ribuan hadirin pada waktu yang telah ditetapkan di hari-hari berkenaan.

“Seri Paduka Baginda berdua amat prihatin terhadap keterujaan dan semangat kasih rakyat yang setia menunggu ketibaan rombongan untuk bertemu, bersalaman dan bergambar dengan Baginda berdua di lokasi-lokasi tersebut,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Tambah kenyataan itu, Seri Paduka Baginda juga bertitah, sekiranya keadaan mengizinkan, baginda berhasrat berangkat menyantuni rakyat di lokasi-lokasi tersebut di masa hadapan.

Selanjutnya, sekiranya keadaan tidak mengizinkan, bermungkinan paduka-paduka anakanda akan mewakili baginda berdua. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI