PETALING JAYA – Tindakan suami isteri bercumbuan di khalayak ramai termasuklah di media sosial adalah sesuatu yang ditegah dalam agama Islam.
Menurut hantaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di laman Facebook, tindakan tersebut boleh menjatuhkan maruah dan kehormatan suami isteri sebagai seorang Muslim.
“Rasulullah bersabda yang bermaksud, iman itu ada tujuh puluh lebih cabang, rasa malu salah satu cabang dari iman.
“Oleh itu, elakkan berkongsi adegan yang tidak bersesuaian di media sosial kerana ia boleh menimbulkan fitnah, keraguan serta perbincangan dalam kalangan masyarakat,” ulasnya.
Tambah Jakim, walaupun bermesra antara suami isteri adalah sesuatu yang dihalalkan, perbuatan ‘menayang’ adegan intim antara suami isteri di media sosial adalah bertentangan dengan adab ketimuran yang kita junjung selama ini.
“Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki.
“Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.
“Bagaimanapun, perbuatan bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE