MADRID – Hasrat penyerang Atletico Madrid, Luis Suarez untuk beraksi menentang bekas kelabnya, Barcelona dalam saingan La Liga di Stadium Wanda Metropolitano pada Ahad ini tidak kesampaian selepas positif pandemik Covid-19.
Suarez, 33, dijangkiti wabak itu ketika menjalani tugasan bersama Uruguay sekali gus terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan bertemu Brazil di Estadio Centenario pagi tadi.
“Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) mengesahkan hasil ujian calitan yang dilakukan mendapati Luis Suarez, Rodrigo Munoz (penjaga gol) dan Matias Faral (pegawai pasukan) positif dijangkiti wabak Covid-19 dan bakinya adalah negatif.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga individu ini berada dalam keadaan sihat. Pihak AUF akan mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi membendung wabak ini dan memastikan mereka bertiga kembali pulih,” menurut kenyataan rasmi AUF.
Berita itu pastinya merupakan satu tamparan besar buat Atletico memandangkan Suarez ketika ini berada pada prestasi terbaik selepas berjaya meledak satu gol membantu Uruguay menewaskan Colombia 3-0 pada Jumaat lalu.
Bukan itu sahaja, bekas bintang Barcelona dan Liverpool itu juga sudah menjaringkan lima gol daripada enam perlawanan bersama Atletico dalam saingan La Liga musim ini.
Sebagai rekod, Atletico yang dikendalikan Diego Simeone kini menduduki tangga ketiga La Liga, tiga mata di belakang pendahulu liga, Real Sociedad dan satu mata mengatasi juara bertahan di tempat keempat, Real Madrid. – AGENSI