PETALING JAYA -Sebanyak dua kereta dan lima motosikal musnah dalam kebakaran sebuah bengkel di Blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.44 pagi tadi.
Katanya, seramai 20 anggota bersama empat jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Damansara dan BBP Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah bengkel di blok B PPR berkenaan yang terbakar 80 peratus.
“Kejadian itu menyebabkan dua kereta dan lima motosikal di dalam bengkel berkenaan musnah akibat terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu berjaya dikawal pada pukul 5.08 pagi tadi dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE